Penulisan artikel ini menumpukan secara khusus mengenai perbincangan zikir Hu yang disokong oleh barisan para muhaddithin yang muktabar dari kalangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah yang menyokong bahawa Hu atau Huwa adalah salah satu nama Allah dan tiada halangan untuk berzikir dengannya.
Imam Hakim al-Tirmidhi dalam Nawadir al-Usul Min Ahadith al-Rasul berkata bahawa Huwa (هُوَ) adalah asal segala nama, yang mana melaluinya hati diisyaratkan. Ini kerana Dia (Allah) adalah batin yang tidak diketahui bagaimana hakikat-Nya.
Imam al-Qurtubi dalam al-Asna Sharh al-Asma’ al-Husna telah menyenaraikan Huwa sebagai salah satu nama Allah. Beliau menjelaskan bahawa meskipun dalam bahasa Arab Huwa adalah kata ganti diri untuk “dia”, dan tidak membentuk sebarang kalam yang lengkap jika hanya menyebutnya secara tunggal, akan tetapi disisi mereka yang bersih hatinya dan tinggi kerohaniannya, Huwa adalah salah satu nama bagi Zat Ilahi. Maka disisi mereka, menyebut Ya Hu adalah bermaksud Ya Allah.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari Sharh al-Bukhari ketika menyebutkan sejumlah pandangan ulama tentang hakikat al-ismu al-a’zam (nama Allah yang paling agung) berkata: “Pertama: al-ismu al-a’zam ialah Hu yang dinukilkan oleh Imam Fakhruddin al-Razi daripada sesetengah ahli kasyaf. Beliau berhujah bahawa sesiapa yang ingin mengungkapkan kalam yang penuh dengan takzim di hadapan seseorang, dia tidak akan berkata kepadanya: ‘Engkau berkata demikian’, sebaliknya dia akan berkata: ‘Beliau berkata’ kerana menjaga adab dengannya.” Sebagai ulama yang tinggi disiplin ilmu dan adabnya, al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan pandangan ini tanpa sedikit pun mengkritiknya.
Imam Ibnu Hajar al-Haytami dalam Al-Fatawa al-Hadithiyyah (ms.73) berkata, “Barangsiapa yang tidak mempunyai murshid, maka janganlah dia berpaling daripada berzikir kalimah “La Ilaha illa Allah” dengan lidahnya dan hatinya. Bahkan wajib ke atasnya untuk melazimi zikir ini (La Ilaha illa Allah) sehinggalah Allah membuka petunjuk kepadanya apa yang terbaik untuk dirinya di antara dua perkara (iaitu La Ilaha illa Allah ataupun zikir Hu) untuk sampai kepada Maqam Shuhud al-’Ayn (Wahdat al-Shuhud)”.
Imam al-Suyuti dalam al-Hawi li al-Fatawi menyatakan bahawa zikir Hu adalah salah satu dari Nama Allah yang agung (IsmuLlah al-A’zam) sebagaimana rahsia Nama itu disingkapkan kepada para Wali Allah. Beliau menjelaskan bahawa mereka berzikir dengan “Hu” dan tidak berzikir dengan Nama “Anta” adalah untuk menjaga adab kepada Allah.
Imam al-Buqa’i dalam Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar (Surah al-Ikhlas), menyatakan bahawa golongan Muqarrabin memandang kepada segala suatu dengan mendapati bahawa segala selain Allah Ta’ala adalah tiada secara zatnya, lalu fokus zikir mereka ialah Hu, manakala golongan Ashab al-Yamin pula melihat kepada segala kewujudan makhluk yang bersifat kemungkinan, dan mereka menentukan maksud setiap yang wujud lalu membezakan zikir mereka dengan lafaz Allah. Tingkatan-tingkatan fokus zikir yang dilakukan oleh Ulama Sufi ini adalah untuk menolak golongan yang mengatakan bahawa Tuhan itu alam dan alam itu Tuhan.
Imam Abd al-Ghaniy al-Nabulsiy dalam Haqa’iq al-Islam wa Asraruhu berkata, “Ketahuilah, sesungguhnya kalimah هو adalah menunjukkan al-Wujud (الوجود) iaitu Allah. Jika orang yang menyebutnya tidak dikurniakan wujud, nescaya dia tidak mampu menyebut dengan lafaz yang menunjukkan al-Wujud yang hakiki iaitu Allah. Maka sebutlah Huwa “dengan Tuhanmu” iaitu bukan daya dan kekuatanmu tetapi semuanya dengan anugerah daya dan kekuatan Allah.
Jabatan Mufti Jordan dan Majlis Fatwa Aliran Deoband telah mengeluarkan fatwa bahawa zikir Hu adalah dibenarkan dan tidak bertentangan dengan kefahaman yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah. Linknya adalah seperti dibawah:
https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3888?fbclid=IwY2xjawFnrGRleHRuA2FlbQIxMAABHTXSVqajEwR3pa7y6I755oY_AmyVHO8snY27KdYoSxY6hNs5VoD9YzOK6w_aem_b1XplOhU8lot8uSf4AicJw#:~:text=%D9%88%D9%85%D9%86%20%D8%B0%D9%8E%D9%83%D9%8E%D8%B1%D9%8E%20%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87%20%D8%A8%D9%84%D9%81%D8%B8%20
https://www.banuri.edu.pk/readquestion/allah-ho-ka-wird-krna-ka-hukam-144508101095/24-02-2024
KESIMPULAN
Zikir Hu bukan saja disokong pengamalannya oleh ulama sufi akan tetapi turut disokong oleh ulama hadith. Jika zikir tersebut bercanggah dari al-Qur’an dan Sunnah, tidak mungkin nama-nama besar tokoh besar dalam bidang hadith seperti yang dinyatakan di atas menyokong hal tersebut.
Zikir Hu adalah khusus untuk orang-orang yang berkomitmen dalam menempuh perjalanan rohani menuju Allah dibawah bimbingan guru murshid dan murabbi, bukan untuk orang yang tidak mempunyai murshid. Pengamalan zikir Hu bukan bermakna mengenepikan zikir kalimah yang ma’thur kerana adab zikir dalam tariqat dibawah murshid ialah menjadikan zikir La ilaha illa Allah sebagai zikir utama lalu sampingan lain adalah zikir Hu dengan penghayatan yang khusus.
Jika anda masih belum faham bagaimana zikir Hu boleh menjadi salah satu Nama Allah kerana anda menganggap Hu itu hanyalah kalimah domir Huwa, teruskanlah dengan pegangan anda itu. Dan jika anda masih belum faham bagaimana ulama rohani tersingkap hati mereka mengenai Huwa itu adalah termasuk sebagai Nama Allah dan anda tidak capai penghayatan dan kelazatannya sebagaimana yang telah dicapai oleh para ulama rohani, maka tiada siapa akan paksa anda untuk memahaminya dan berzikir dengannya, anda bebas berpegang dengan apa yang difahami dengan skop pemikiran anda, namun cukuplah anda memahami bahawa zikir Hu telah diakui kebenarannya dan penghayatannya yang sahih oleh ulama besar hadith semisal Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam al-Haytami, Imam al-Suyuti dan lain-lain.
Ungkapan Arab menyebutkan:
وَإِذَا لَمْ تَرَ الْهِلَالَ فَسَلِّمْ لِأُنَاسٍ رَأَوْهُ بِالْأَبْصَارِ.
“Apabila kamu tidak melihat anak bulan, maka serahkanlah kepada orang yang melihatnya dengan mata kepala.”
Kalimah Hu bukanlah diambil dari mana-mana nama dewa atau tuhan lain, akan tetapi ia mempunyai sandaran dari al-Qur’an lantaran banyak ayat-ayat al-Qur’an yang merujuk Allah sebagai Huwa atau Hu seperti:
هُوَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ
Maksud: “Dia-lah Tuhanku, tiada tuhan selain Dia”. (Surah al-Ra’d:30)
Jika anda tidak memahami bagaimana ulama sufi istinbat zikir Hu dari kefahaman al-Qur’an dan anda menganggap Hu bukan Nama Allah dengan alasan Nabi Muhammad SAW tidak pernah melakukannya, teruskanlah dengan pegangan anda dalam ruang lingkup batasan kefahaman anda, tiada paksaan ke atas anda untuk memahami perkara yang anda tidak mampu faham dan anda tidak perlu mengamalkannya, namun usah terburu-buru menyesatkan pengamalannya sebaliknya serahkan hal itu kepada para ahlinya.
Ketidakfahaman anda tidak dapat mengubah dan menjejaskan pemahaman yang telah difahami oleh para ulama besar hadith di atas mengenai zikir Hu.
Imam al-Zarkashi berkata, “Kefahaman al-Qur’an yang benar tidak akan terhasil jika hanya sekadar bersandar kepada tafsir yang zahir semata-mata. Oleh itu, kebanyakan manusia mempunyai tingkatan yang sama dalam kefahaman mereka terhadap tafsiran zahir al-Qur’an, namun tingkatan mereka berbeza-beza bergantung kepada penyingkapan hati mereka terhadap kefahaman kepada makna batin al-Qur’an”.
Seorang ulama pakar hadith bernama Imam Ibnu ‘Allan dalam kitabnya Al-‘Iqd al-Farīd fī Tahqīq al-Tawhīd menyebutkan bahawa sikap yang perlu dimiliki terhadap orang yang telah sampai pada kefahaman dan pencapaian rohani yang tinggi adalah taslim iaitu serahkan kepada ahlinya, Yakni apabila seseorang belum menyaksikan apa yang disaksikan oleh para Arifin, maka hendaklah dia tidak menolak apa yang dicapai dalam pengalaman rohani orang yang soleh lagi terpercaya.
Zikir Hu (هو) adalah merupakan zikir secara isyarat yang tertuju kepada Allah terdapat pada fikiran dan pada lubuk hati sang pencinta Allah, yang ditujukan dan dimaksudkan adalah kepada yang hatinya kenali iaitu Allah Ta‘ala. Berzikir dengan lafaz ini dengan menggambarkan (niat) hal keadaan dirinya yang tiada kemampuan dan sentiasa berada dalam kekuasaan Allah serta Keagungan-Nya.
— Shaykh Iqbal Zain al-Jauhari
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/Bx9AkMZiCU1CMzZg/